Kajian Keberkesanan Perlaksanaan Kursus Dalam Perkhidmatan (KDP) 14 Minggu Komputer Dalam Pendidikan Di Institut Perguruan Darulaman,Jitra,Kedah

1.0   Pendahuluan


Penggunaan teknologi maklumat dalam pendidikan di Malaysia telah bermula dengan pengenalan program kelab komputer melalui kegiatan kokurikulum di sekolah-sekolah pada tahun-tahun 1980an (Zoraini, 1991). Mulai tahun 1995, Kementerian Pendidikan telah memperkenalkan program Komputer Dalam Pendidikan dengan memberi penekanan kepada empat mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik. Guru-guru mata pelajaran berkenaan dilatih menggunakan komputer dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Kementerian Pendidikan juga telah mengumumkan pada tahun 1996 untuk menjadikan mata pelajaran Literasi Komputer sebagai salah satu mata pelajaran dalam pengajian dii peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia.

                 Penggunaan teknologi maklumat pada dasarnya akan menjadi teras aplikasi proses pengajaran dan pembelajaran semua mata pelajaran di sekolah-sekolah bestari yang akan dilaksanakan sepenuhnya mulai tahun 1999. Penggunaan tekonologi maklumat bukanlah bertujuan untuk mengambilalih peranan guru sebagai pendidik, malah ia akan dijadikan sebagai media utama pengajaran dan pembelajaran dengan guru sebagai pemudahcara dalam proses tersebut (Mohd. Yusof, 1997). Kemantapan dan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran dengan menggunakan teknologi maklumat bergantung kepada keupayaan dan kebolehan aplikasi teknologi maklumat yang ada pada guru-guru dan pelajar-pelajar yang terlibat. lsu ini memberi satu cabaran yang besar terhadap kadar penerimaan dan persiapan mental dan kompetensi dalam penggunaan teknologi maklumat di kalangan guru-guru secara amnya. Apakah mereka sudab bersedia untuk menukar peranan yang mereka jalankan selama ini kepada sebagai pemudahcara dengan menggunakan teknologi maklumat di hadapan pelajar-pelajar mereka. Bagaimanakah caranya mereka dapat memainkan peranan ini dengan berkesan dalam konteks pendidikan yang sebenarnya iaitu untuk membawa perubahan sikap dan pengetahuan ke arah merealisasikan matlamat sekolah bestari? Sistem pendidikan kita adalah dalam era anjakan paradigma ke arah globalisasi dan Koridor Raya Multimedia dan sudah tentu memerlukan banyak kajian dan penyelidikan.

2.0    Latarbelakang  Kajian

Usaha untuk memperkenalkan penggunaan komputer ke dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah membayangkan perubahan yang dramatik di kalangan guru-guru (ZulkifIi dan Raja Maznah, 1994). Kajian-kajian yang telah dilakukan di Amerika Syarikat di antara tahun 1987 dan 1992 mendapati bahawa penggunaan media komputer masih menjadi suatu matlamat yang elusif bagi kebanyakan guru-guru (Sculley, 1987; Butzin, 1992). Dalam hal ini, Morton (1996:417) telah merumuskan fenomena ini sebagai " while the real world uses computers to move formard, educators too often look studiously backward" sehingga menjadikan penggunaan komputer dalam pengajaran tertinggal di belakang. Morton juga mendapati walaupun pihak kerajaan telah memberi dorongan yang kuat disamping sambutan oleh pihak swasta terhadap program komputer. namun tidak terdapat bukti yang menunjukkan penerimaan yang kuat dari kalangan guru-guru sendiri. Oleh yang demikian, terdapat keperluan yang amat tinggi untuk menilai status penerimaan guru- guru terhadap teknologi komputer di dalam pengajaran dan pembelajaran (Gbomita, 1997).

     
                   Perkembangan pendidikan masa kini sedang menuju ke arah penggunaan komputer  sebagai alat pengurusan  pengajaran dan pembelajaran. Oleh itu guru perlu didedahkan dengan ilmu dan kemahiran  menggunakan komputer dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran.  Dengan menggunakan komputer dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran  kualiti dan hasil dalam pengurusan dan pentadbiran sekolah  dan bilik-bilik darjah dapat ditingkatkan. Pendidikan di Malaysia memperlihatkan pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer telah mengambil alih untuk setengah-setengah matapelajaran. Rancangan mewujudkan sekolah Bestari umpamanya, matapelajaran Sains, Matematik, Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris merupakan matapelajaran yang dipilih untuk  menggunakan perisian-perisian pendidikan.

                 Penggunaan komputer dalam pendidikan dan kebolehan pelajar menggunakannya secara berkesan kini dilihat sebagai keperluan dalam mana-mana sistem pendidikan. Kesedaran semua pihak terhadap perubahan pesat teknologi serta peranan yang akan dimainkan oleh guru untuk menginovasikan sistem pendidikan sesuai dengan perubahan semasa. Keperluan kemahiran ini menjadi penyebab utama mengapa pihak  Kementerian Pendidikan mengadakan Kursus Dalam Perkhidmatan (KDP) 14 minggu  Pendidikan Komputer.  Kursus  ini dijalankan di beberapa buah maktab di seluruh negara. Sebagai permulaan guru-guru yang dipilih untuk mengikuti kursus tersebut terdiri daripada guru dari pelbagai latarbelakang  matapelajaran di sekolah rendah dan menengah . Mereka akan diberi latihan secara intensif untuk menguasai pengetahuan dan kemahiran  tertentu seperti  kemahiran berfikir  secara kreatif dan kritis, pengurusan pembelajaran bestari dan kemahiran teknologi maklumat. Mereka didedahkan dengan kaedah dan penyediaan  proses pengajaran dan pembelajaran  untuk disesuaikan dengan keperluan sekolah dan pelajar.

          
2.1  Kurikulum KDP 14 Minggu Komputer Dalam Pendidikan 

Bahagian Pendidikan Guru (BPG) merancang dan melaksanakan Kursus Dalam Perkhidmatan (KDP) 14 minggu Komputer Dalam Pendidikan   merupakan satu langkah yang tepat dan patut dihargai. Mulai tahun 1994 dan sehingga kini kursus ini telah dilaksanakan setiap tahun di institut/maktab perguruan yang terpilih. Guru-guru ini akan dilengkapkan dengan kemahiran komputer dan teknologi maklumat terkini. Mereka  akan diberi latihan intensif tentang penggunaan teknologi maklumat. Mengikut deraf kurikulum Kursus Dalam Perkhidmatan (KDP)14 minggu  Komputer Dalam Pendidikan  (Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pendidikan  Malaysia, 2000), kursus ini bertujuan untuk :

a)         Menyediakan guru untuk menangani perubahan terkini dalam dunia pendidikan
b)         Menjana kekuatan minda bagi melahirkan guru yang reflektif untuk menghadapi cabaran Era   
            Teknologi Maklumat selaras dengan matlamat pendidikan negara.
c)         Memantapkan ketrampilan profesionalisme guru untuk mengaplikasikan pedagogi bestari bagi  
            melahirkan generasi pendidik bertaraf dunia.
d)        Memupuk sikap positif  dan nilai murni sejajar dengan tuntutan dan cabaran teknologi maklumat
e)        Meningkatkan penggunaan pelbagai teknologi sebagai alat dalam pengajaran dan pembelajaran yang  
            berkesan.
f)         Memberi kemahiran penggunaan komputer kepada pendidik
g)         Melatih guru-guru sekolah supaya mereka berkebolehan melaksanakan aktiviti  Pengajaran dan
           Pembelajaran Berbantukan Komputer di sekolah.

Pelaksanaan kursus KDP 14 Minggu ini dibahagikan kepada 2 bahagian iaitu
a)         Interaksi  Pengajaran dan Pembelajaran selama 12 minggu
b)         Projek Praktikum selama 2 minggu

Struktur kurikulum Kursus Dalam Perkhidmatan (KDP) 14 minggu komputer adalah seperti berikut :

( A )

Asas  Dinamika Guru

 

1.  Pengajaran dan pembelajaran Bestari

Kemahiran Teknologi Maklumat
Kemahiran Secara Kritis dan Kreatif
Kemahiran Belajar
Kemahiran Mentaksir dan Menilai
Pengurusan Pembelajaran Bestari

Unit

Komponen

1

Komputer Dalam Pendidikan
Pengenalan Kepada Sistem Dan Rangkaian  Komputer
Perkembangan Komputer Dan Teknologi Maklumat
Komputer Dalam Pendidikan
Perkakasan dan Perisian
Rangkaian Komputer
Pengenalan Kepada Komunikasi Data dan Rangkaian Komputer
Rangkaian Setempat (LAN)

2

Penyenggaraan Sistem Komputer dan Pengurusan Teknologi Maklumat di Sekolah
Penyenggaraan Sistem komputer
Pengenalan kepada komponen dan Fungsinya
Menanggal dan memasang semula  komponen komputer
Mengesan kerosakan dan penggunaan perisian ultiliti
Konfigurasi sistem komputer
Penyediaan perisian
Pengurusan fail
Penyediaan Sistem rangkaian
Pengurusan dan penyenggaraan perkakasan
Pengurusan Teknologi Maklumat
Merancang, melaksana dan menyelaras aktiviti TM di sekolah
Penyediaan makmal komputer
Aspek keselamatan

3

Pengenalan kepada Alat Pengarangan dan Pengaturcaraan BASIC

Pengenalan kepada alat pengarangan

1.1  Kitaran pembangunan perisian
1.2  Pembangunan Perisian pendidikan

Pengenalan kepada pengaturcaraan BASIC

Bahasa Pengaturcaraan komputer
Pengertian algoritma dan carta alir
Penggunaan bahasa BASIC
Penulisan aturcara mudah

4

Internet Dalam Pendidikan

Pengenalan Internet
Kegunaan internet
Keperluan Perkakasan dan Perisian
Penggunaan Internet Dalam Pendidikan
Kemahiran Mencari Dan Menyimpan Maklumat Dari Internet
Isi-isu Semasa Berkaitan Internet
Pembinaan Laman Web
Mengenal contoh-contoh Laman Web
Mengenalpasti contoh-contoh perisian yang berkaitan
Pemilihan grafik dan muzik

5

Penggunaan Perisian Aplikasi
Pemprosesan Kata
Hamparan Elektronik
Pangkalan Data
Persembahan Elektronik

3.0   Pernyataan Masalah

Pelaksanaan sesuatu program pendidikan terutama komputer dalam pendidikan memerlukan penelitian dan perancangan yang sempurna lebih-lebih lagi ianya melibatkan teknologi seperti komputer yang memerlukan pelbagai kemahiran asas sebagai prasyarat perlaksanaan yang berkesan. Pelaksanaan komputer dalam pendidikan menerusi program teknologi maklumat atau pembelajaran berbantukan komputer perlu dikendalikan dengan sempurna, menerusi penilaian formatif secara berterusan agar segala kelemahan dan kekurangan perancangan  dapat dikenalpasti dan diperbaiki.

               Perlaksanaan Kursus Dalam Perkhidmatan(KDP)  14 minggu Komputer Dalam Pendidikan melibatkan peserta daripada  guru-guru terlatih yang telah melalui latihan perguruan formal dan telah mempunyai beberapa tahun pengalaman mengajar di sekolah rendah dan menengah. Mereka telah biasa dengan amalan pedagogi tertentu disamping berpegang kepada satu set nilai dalam menjalankan tugas sebagai pendidik di sekolah. Kursus yang diikuti oleh mereka ini, membolehkan mereka melaksanakan aktiviti pengajaran pembelajaran berbantukan komputer di peringkat sekolah. Kejayaan dan keberkesanan aktiviti-aktiviti PBK ini bergantung kepada kemampuan dan kemahiran yang diperolehi semasa guru-guru ini berkursus di sini. Pengetahuan serta kemahiran sedia ada dan nilai yang dibawa bersama oleh peserta kursus dijangka akan mempengaruhi penglibatan mereka semasa mengikuti kursus ini. 

          Beberapa persoalan  yang sering diperkatakan  sebelum ini mengenai keberkesanan perlaksanaan KDP 14 minggu pendidikan komputer di maktab perguruan . Di antara permasalahan yang sering  ditimbulkan ialah mengenai  pemahaman dan penguasaan peserta terhadap kandungan kursus , kemudahan latihan dan prasarana  yang disediakan di maktab dan proses pengajaran dan pembelajaran  yang dilaksanakan  oleh pensyarah, penggunaan bahan bantuan komputer dan tempoh kursus yang dilalui oleh peserta.
Kurikulum KDP ini memang menjurus kepada penguasaan pengetahuan dan kemahiran komputer yang bermatlamat melahirkan guru yang mesra teknologi maklumat dan berketrampilan sebagai guru bestari. Guru-guru KDP ini berpeluang membina kemahiran komputer ketika berkursus di maktab .            

4.0   Tujuan  Kajian

Tinjauan ini untuk melihat  keberkesanan pelaksanaan kurikulum KDP 14 minggu Komputer Dalam Pendidikan dimaktab perguruan . Persepsi di kalangan peserta kursus yang terdiri daripada guru-guru dalam pelbagai latarbelakang pengkhususan terhadap perlaksanaan kurikulum KDP 14 minggu Komputer Dalam Pendidikan adalah penting untuk mengukur sejauhmanakan kursus KDP 14 minggu komputer yang dilaksanakan di maktab perguruan sama ada mencapai matlamat dan objektif yang dikehendaki atau di sebaliknya.
Di antara aspek penting yang akan dilihat adalah seperti berikut

i.          Latarbelakang dan kemahiran komputer dikalangan peserta yang dipilih
ii.          Pemahaman peserta terhadap kandungan sukatan KDP 14 Minggu Komputer Dalam  Pendidikan
iii.         Perlaksanaan proses pengajaran dan pembelajaran.
iv.        Penggunaan bahan-bahan bantu mengajar khususnya penggunaan perisian PPBK .


5.0   Persoalan Kajian

Bagaimanakah perlaksanaan  kursus KDP ini dijalankan bagi mencapai objektif yang ditentukan untuk membolehkan guru-guru ini menguasai kemahiran kemahiran teknologi maklumat yang diperkenalkan?  Persoalan kajian merangkumi perkara berikut
i.          Apakah tahap penguasaan komputer di kalangan peserta yang dipilih  mengikuti kursus ini
ii.          Apakah pandangan peserta kursus terhadap kandungan sukatan dan  pemahamman peserta
            terhadap kandungan sukatan KDP 14 Minggu Pendidikan Komputer ini.
iii.         Bagaimanakah perlaksanaan proses pengajaran dan  pembelajaran.
iv.        Adakah bahan-bahan bantumengajar  khususnya penggunaan perisian PPBK disedia
            dan digunakan dalam melaksanakan kurikulum ini.

6.0   Objektif  Kajian 

Objektif kajian ini ialah untuk melihat  keberkesanan perlaksanaan Kursus Dalam Perkhidmatan KDP 14 Minggu Komputer Dalam Pendidikan di Institut Perguruan Darulaman terhadap perkara-perkara berikut

i.          Latarbelakang peserta yang dipilih menghadiri kursus
ii.          Pemahaman dan penguasaan terhadap isi kandungan kursus
iii.         Perlaksanaan pengajaran dan pembelajaran 
iv.        Penggunaan perisian  berbantukan komputer .

7.0   Kepentingan Kajian 

Kajian keberkesanan perlaksanaan kursus KDP 14 minggu Komputer Dalam Pendidikan ini penting bagi mendapatkan maklumbalas untuk mempertingkatkan kualiti pengajaran dan kurikulum yang dibina. Diharapkan kajian ini akan dapat membantu semua pihak yang terlibat khususnya di peringkat perlaksanaan kurikulum ini di maktab perguruan untuk membuat pembaikan dan meningkatkan kualiti dalam proses pengajaran dan pembelajaran kursus KDP 14 minggu di masa akan datang.

8.0   Batasan Kajian

 Kajian ini terbatas kepada pelaksanaan kursus KDP 14 Minggu Komputer Dalam Pendidikan di Institut Perguruan Darulaman ,Jitra ,Kedah.  Kajian ini hanya meninjau perlaksanaan kursus KDP 14 Minggu Komputer  Dalam Pendidikan yang melibatkan aspek pemilihan peserta kursus dan perkara yang berkaitan dengan perlaksanaan pengajaran dan pengajaran kurikulum kursus KDP 14 M  Komputer Dalam Pendidikan .

9.0   Definisi Operasi

Dalam operasi kajian ini, istilah-istilah berikut akan digunakan secara meluas. Kajian ini akan menilai pelaksanaan kurikulum Kursus Dalam Perkhidmatan (KDP) 14 Minggu Komputer Dalam Pendidikan.

a)         Isi Kandungan Kurikulum

Meliputi pengetahuan ,kemahiran dan nilai yang dirancang untuk disampaikan kepada peserta kursus KDP 14 minggu Komputer Dalam Pendidikan.

b)        Teknologi Maklumat (IT)

Teknologi maklumat merujuk semua elemen teknologi yang boleh membuat perolehan, menyimpan, memproses, memancar dan mempersembahkan maklumat. Asas teknologi ini termasuklah komputer, mikroelektronik, telekomunikasi dan teknologi perisian serta peralatan  .                                                                            
Zoraini (1993) menyatakan teknologi maklumat ialah proses pengolahan data untuk mendapatkan maklumat dengan menggunakan langkah mengutip, menyimpan, memproses dan melaporkan maklumat.
Ini biasanya dibuat dengan peralatan komputer .

c)  KDP 14 Minggu Komputer Dalam Pendidikan
 KDP 14 Minggu Komputer Dalam Pendidikan  bermaksud kursus yang diadakan di maktab-maktab perguruan yang bertujuan menyediakan guru dengan pengetahuan dan kemahiran menggunakan komputer dan teknologi maklumat . Peserta kursus ini dikehendaki menghabiskan tempoh kursusnya selama 14 minggu.

d)         Perlaksanaan Kursus

Perlaksanaan membawa maksud menjalankan,mengusahakan rancangan. Menurut Kamus Am(1995) perlaksanaan membawa maksud perihal perbuatan dan usaha melaksanakan rancangan dan tugas. Kajian ini mengkaji keberkesanan perlaksanaan kurikulum KDP 14 Minggu Komputer Dalam Pendidikan.

e)         Strategi pengajaran dan pembelajaran

Membawa maksud teknik dan kaedah yang digunakan oleh tenaga pengajar dalam penyampaian isi kandungan kurikulum. Kajian ini  akan meninjau  penggunaan teknologi multimedia di dalam pengajaran dan pembelajaran khususnya perisian bantuan komputer (PBK).  Kemudahan multimedia ini bukan sekadar digunakan oleh guru-guru sebagai alat bantu mengajar, tetapi digunakan sepenuhnya oleh pelajar sebagai alat bantu belajar.

e)         Prasarana Kursus

Merujuk kepada kemudahan yang disediakan oleh pihak pentadbiran kepadas peserta menjalani kursus seperti makmal komputer,peralatan mengajar ,bilik kuliah,pusat sumber,buku buku rujuikan dan lain-lain.

f) Perisian Bantuan Komputer (PPBK)

Menurut Forcier (1999), PPBK ialah satu kaedah yang secara umumnya dikaitkan dengan penggunaan komputer untuk tujuan menyokong aktiviti-aktiviti pengajaran dan pembelajaran atau mempelajari sesuatu dengan bantuan komputer. 

Komputer Dalam Pendidikan

Sejak awal tahun 70-an, banyak minat telah ditunjukkan terhadap kajian berkaitan pelaksanaan komputer dalam pendidikan di sekolah rendah dan menengah (Gring, 1982, Martin dan Heller, 1982). Terdapat beberapa kajian tempatan mengenai beberapa aspek pelaksanaan program komputer dalam pendidikan dijalankan (Marzita, 1992 : Sivarani, 1993, dan Sulaiman, 1994). Namun kekaburan tentang konsep komputer tetap wujud. Ini kerana konteks yang berbeza diketengahkan dalam membincang istilah tersebut.

                      Apabila dilihat istilah program komputer dalam pendidikan berkait dengan aplikasi atau aspek pendidikan menerusi penggunaan komputer. Bennet (1989) mendefinisikan program komputer dalam pendidikan sebagai satu program pengajaran dan pembelajaran. Ia satu konfigurasi sumber secara terancang yang mengajar dengan komputer dan tentang komputer. Program komputer dalam pendidikan bukanlah satu perisian komputer, makmal komputer atau kelas komputer yang selalu melawat ke makmal komputer. Ia merupakan satu gabungan yang terancang antara sumber guru, pentadbir, kemudahan, alatan, bahan-bahan dan sebagainya.  Giesert dan Futrell (1990) menegaskan bahawa seseorang guru yang menggunakan komputer dalam pengajarannya boleh dikategorikan sebagai mempunyai bakat dan kebolehan tambahan. Pengajaran yang disertakan dengan alat bantuan mengajar yang terkini akan dapat meningkatkan minat pelajar mempelajari sesuatu bidang pelajaran. Di samping itu, komputer yang dapat digunakan secara berkesan oleh guru-guru mampu menyelesaikan banyak masalah pengajaran dan pembelajaran. Pandangan ini disokong oleh Heinich (1993) yang menyatakan bahawa komputer dapat memperkaya teknik persembahan pengajaran. Di samping itu, Heinich juga menyatakan bahawa komputer berkemampuan untuk mengawal dan mengurus bahan pengajaran yang banyak . Kemampuan komputer berinteraksi dengan penggunanya membolehkan guru menerap pembelajaran dengan lebih mudah serta menarik.

                 Sandholtz (1997) menyatakan bahawa penggunaan teknologi di sekolah boleh memudahkan pengajaran dan pembelajaran. Di samping itu, penggunaan komputer dalam bilik darjah telah berjaya meningkatkan mutu pendidikan. Peranan guru bukan lagi sebagai penyampai maklumat tetapi sebagai fasilitator bagi proses pembelajaran pelajar.  Penggunaan komputer secara sistematik dapat membantu guru mencapai objektif pengajaran dan pembelajaran dengan berkesan. Kini guru telah gemar menggunakan komputer untuk pemprosesan perkataan dan ditambah pula dengan memasukkan elemen grafik yang memang banyak terdapat dalam program komputer.  Penilaian hasilan komputer dalam pendidikan akan memberi maklumat tentang kesannya terhadap para pelajar dari segi kognitif dan efektif. Pengetahuan, kemahiran dan sikap dapat diukur dan dinilai dengan menggunakan beberapa teknik pengumpulan maklumat seperti ujian, soal selidik, temu bual dan pemerhatian serta analisis dokumen. Bahkan sebahagian daripada teknik ini boleh mengukur program iaitu input dan prosedur.
 

Sikap Terhadap Penggunaan Komputer

Guru merupakan aset sekolah, pelaksanaan sebarang program pendidikan bergantung kepada kesediaan, kecekapan, sikap, komitmen, pengetahuan, sokongan dan ketrampilan guru. Lebih-lebih lagi bidang yang memerlukan kemahiran khusus seperti komputer dan teknologi. Para penyelidik telah membuat kesimpulan bahawa apabila latihan guru sesuai, ia dapat membantu guru untuk mempunyai sikap yang positif terhadap penggunaan komputer (Cates dan Mcnaull, 1993).

                Apabila komputer diperkenal ke sekolah-sekolah, guru-guru tidak berasa selesa dan cuba menolak penggunaan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran. Ajibero (1995) dalam kajiannya telah mendapati bahawa guru-guru beranggapan bahawa komputer, khususnya teknologi maklumat akan mengambil alih peranan mereka sebagai pengajar kerana komputer berupaya membekalkan ilmu yang lebih meluas dan ini akan mencabar profesion dan keupayaan guru. Dapatan yang diperoleh oleh Zainuddin (1997) menunjukkan bahawa tiada perhubungan yang signifikan antara jantina, umur, kelulusan tertinggi, saiz sekolah dengan sikap terhadap penggunaan komputer. Walau bagaimanapun, terdapat hubungan yang signifikan terhadap penggunaan komputer di antara kemahiran dan pengetahuan komputer serta takut terhadap komputer. Kajian ini menunjukkan tahap penggunaan komputer di sekolah sederhana tetapi mempunyai kepakaran yang rendah untuk kebanyakan perisian komputer.

                    Dapatan oleh Rahilah (1998) pula tidak terdapat perbezaan sikap terhadap komputer yang signifikan antara pelajar lelaki dan pelajar perempuan. Kajian yang telah dilakukan oleh Jusni (1995) mengenai sikap pensyarah Institut Perguruan Darul Aman (IPDA) terhadap penggunaan komputer secara profesional. Sikap terhadap penggunaan komputer dipecahkan kepada empat bahagian iaitu keyakinan, kesukaan, kebimbangan dan penggunaan dalam profesion. Keseluruhan kajian mendapati sikap penggunaan komputer adalah positif tetapi penggunaannya dalam profesion di bawah tahap purata.   Nor Hariza (1994) dalam kajiannya mendapati bahawa guru yang pernah mengikuti kursus komputer mempunyai pengetahuan yang lebih tinggi berbanding dengan guru yang tidak pernah mengikuti kursus tentang komputer. Kajiannya juga mendapati bahawa guru yang mempunyai komputer sendiri mempunyai tahap kemahiran komputer yang lebih tinggi.

                Satu kajian yang dijalankan ke atas 72 orang guru agama di Maktab Perguruan Islam (Sulong Karim : 1996). Kajian ini menunjukkan guru agama mempunyai minat dan sikap yang amat membanggakan terhadap komputer dalam pengajaran dan pembelajaran. 95% daripada mereka suka kepada komputer. 97.8% daripada mereka mahukan kursus komputer diadakan untuk menambah kemahiran mereka menggunakan komputer.  Kajian oleh Mat Jizat Abdol (1995) kepada 60 orang guru dari 12 buah sekolah menengah di negeri Johor mendapati bahawa 70% daripada responden menyatakan tidak tahu menggunakan komputer. Kajian-kajian ini menunjukkan masih terdapat jurang antara harapan kementerian dengan keadaan amalan sebenar yang wujud.  Gray (1986) menyatakan bahawa tahap kebolehan guru melaksanakan program komputer dalam pendidikan ditentukan juga oleh kursus yang dihadiri. Glenn & Carrier (1989) telah mengingatkan bahawa kursus dalam perkhidmatan bagi pensyarah melibatkan proses semakan semula program pendidikan guru mengikut keperluan semasa.

10.0  Metodologi Kajian 

Kajian ini berbentuk kajian tinjauan yang bertujuan untuk mengumpul data daripada peserta KDP 14  Minggu Komputer Dalam Pendidikan. Rekabentuk tinjauan adalah sesuai diaplikasikan untuk mendapatkan satu gambaran menyeluruh tentang perlaksanaan kurikulum Komputer Dalam Pendidikan.

a)         Populasi Dan Sampel Kajian

Populasi kajian terdiri daripada 20 orang guru sekolah menengah dan rendah yang terpilih untuk mengikuti kursus dalam perkhidmatan  KDP  Komputer Dalam Pendidikan selama 14 minggu di  Institut Perguruan Darulaman, Jitra  ambilan Julai 2001 dan semua peserta  program ini dijadikan sampel kajian.

Jadual    1: Taburan responden
 

Maktab/Institut

Bil.

%

Institut Perguruan Darulaman

20

50

Jumlah

20

100


b)         Instrumen soal selidik

Soal selidik yang disediakan dalam bentuk skala Likert yang bertujuan mengumpul data dan maklumat berkaitan dengan  persoalan kajian.

i.          latarbelakang dan penguasaan literasi komputer peserta
ii.          persepsi terhadap kandungan kurikulum KDP 14 Minggu  Komputer Dalam Pendidikan
iii.         persepsi terhadap perlaksanaan proses pengajaran dan pembelajaran.
iii)         prasarana dan penggunaan bahan bantu mengajar bantuan komputer
iv)        penguasaan terhadap isi kandungan kursus dan kemahiran yang diterapkan

 Soal selidik diberikan oleh penyelidik kepada responden pada minggu  ke 8  kursus. Soal selidik diberikan kepada responden mengikut maktab/institut pada hari yang berlainan tetapi pada waktu yang hampir sama iaitu, di sebelah pagi.  Mereka diminta supaya mengisi borang soal selidik secara jujur. Masa yang diambil oleh responden adalah lebih kurang 20 minit. Semua soal selidik dikumpul semula pada akhir sesinya. 

iii)         Analisis data

Semua maklumat dan respon responden dikodkan dan dianalisis dengan SPSS. Maklumat responden dikodkan seperti berikut:

                                                       
                                                                            Jadual 1:  Kod jantina

Jantina

Kod

Lelaki
Perempuan

1
2

                                                               Jadual 2: Kod pengalaman mengajar

Pengalaman mengajar

Kod

3-5 tahun
6-10 tahun
lebih 10 tahun

1
2
3

                                                     Jadual 3: Kod respon kepada item-item  instrumen

Respon

Kod

Sangat setuju
Setuju
Memuaskan
Tidak setuju
Sangat tidak setuju

5
4
3
2
1


11.0  Dapatan Kajian

Kajian ini bertujuan melihat keberkesanan perlaksanaan kursus KDP 14 minggu Komputer Dalam Pendidikan  di maktab perguruan. Di samping itu,  segala maklumat yang diperolehi melalui soal selidik dikodkan dan diproses dan keputusan kajian diberi di bawah ini.

a.         Profil Responden

Maklumat mengenai profil responden seperti jantina, umur ,pengalaman mengajar dan kelayakan akademik  serta latarbelakang menggunakan komputer dikumpul dalam kajian ini. Jumlah responden dari  maktab/institut perguruan yang terlibat dalam kajian ialah  20 orang

i.          Jantina

Bilangan peserta perempuan jauh lebih besar daripada peserta lelaki dalam Kursus KDP Komputer Dalam Pendidikan  seperti yang ditunjukkan dalam jadual berikut:            

                                                              Jadual 4: Profil responden mengikut Jantina

               Jantina

Jumlah

Peratus

Lelaki

8

40.0

Perempuan

12

60.0

Jumlah

20

100.0

 ii.         Pengalaman Mengajar
                                                                 Jadual 5: Pengalaman Mengajar

Pengalaman Mengajar

Jumlah

Percent

3 tahun

10

50.0

5 tahun

8

40.0

Lebih 10 tahun

2

10.0

Total

20

100.0

b)         Latarbelakang  kemahiran menggunakan komputer
-
Secara umumnya  sebahagian besar daripada peserta yang mengikuti kursus ini  tidak mempunyai kemahiran menggunakan komputer yang baik . Dapatan kajian menunjukkan hanya 20.0 ( 4 orang ) peratus sahaja daripada peserta yang mahir menggunakan komputer , manakala  60.0 %( 12 orang ) adalah dalam kategori sederhana. Selainnya adalah lemah dan tidak mempunyai kemahiran  menggunakan komputer.

                                                    Jadual 6: Tahap kemahiran komputer di kalangan peserta

Item

Jumlah

Percent

Lemah

2

10.0

Tidak mahir

2

10.0

Sederhana

12

60.0

Mahir

4

20.0

Total

20

100.0


c)  Pemahaman terhadap kandungan kursus KDP 14 Minggu

Umumnya sebahagian besar peserta memahami  kandungan kurikulum KDP 14 minggu seperti yang di berikan kepada mereka . Dapatan menunjukkan bahawa 70.0 peratus daripada peserta memahami kandungan kursus manakala  30.0 % lain kurang memahami kandungan kursus KDP 14 Minggu Komputer Dalam Pendidikan.

           Jadual 7: Persepsi peserta kursus  terhadap kandungan sukatan dapat dilihat seperti berikut.

 

Item

Jumlah

Peratus

memahami kandungan kursus yang diikuti

15

75.0

Kesesuaian kandungan sukatan

15

75.0

Kandungan sukatan menepati objektif

15

75.0

pembahagian topik mengikut urutan

16

80.0


d) Perlaksanaan pengajaran pembelajaran

Tinjauan ini mendapati perlaksanaan kurikulum KDP 14 minggu Komputer Dalam Pendidikan di Institut  perguruan ini berjalan dengan lancar. Maklumbalas daripada peserta menunjukkan bahawa  perlaksanaannya begitu baik sepertimana yang ditunjukkan oleh jadual dibawah. Tenaga pengajar dan prasarana di IPDA mampu untuk digunakan bagi melaksanakan kursus ini. Walaubagaimanapun hasil tinjauan yang dibuat wujud beberapa perkara yang memerlukan perhatian daripada pihak BPG dan maktab perguruan untuk memberikan perhatian bagi tujuan pembaikan,antaranya ialah
a)         pembahagian masa mengajar setiap subjek
b)         urutan perlaksanaan topik
c)         Bimbingan dan tunjukajar daripada pensyarah
d)         Kepelbagaian strategi pengajaran.

                           Jadual 8: perlaksanaan pengajaran dan pembelajaran

Item

Jumlah

Peratus

Jadual waktu sesuai dan di atur dengan baik

14

70.0

Pembahagian masa mengajar setiap subjek mencukupi

12

60.0

Pengajaran topik mengikut urutan

11

55.0

Bimbingan yang baik oleh pensyarah

11

55.0

Kepelbagaian kaedah mengajar

13

65.0

Penggunaan makmal komputer semasa pengajaran dan pembelajaran

19

95.0

Aktiviti dan latihan selepas setiap topik selesai di ajar

15

75.0

Penggunaan modul pengajaran dan pembelajaran

9

45.0

 

e)         Penggunaan Bahan Bantu Mengajar Bantuan Komputer (PPBK)

Sebahagian besar peserta kursus menyatakan bahawa terdapat perisian bantuan komputer di maktab –maktab ini dan ianya digunakan oleh pensyarah dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Namun begitu perhatian yang perlu diteliti dengan serius ialah ketiadaan perisian tersebut dalam bahasa Malaysia dimana 60.0 peratus responden menyatakan bahawa tidak terdapat perisian tersebut dalam bahasa Malaysia sebaliknya 95.0 responden menyatakan bahawa kebanyakan perisian kursus PPBK ini terdapat dalam bahasa Inggeris.

                                                       Jadual 9: Penggunaan perisian PPBK

Item

Jumlah

Peratus

Perisian  PPBK disediakan

13

65.0

PPBK digunakan oleh pensyarah

11

55.0

PPBK tidak terdapat dalam dalam Bahasa Malaysia

12

60.0

PPBK terdapat dalam dalam Bahasa Inggeris

19

95.0


f)          Penguasaan  kemahiran di kalangan peserta

Jadual di bawah menunjukkan tahap  penguasaan di kalangan peserta kursus terhadap kurikulum yang sedang diikuti.
                                            Jadual 11 : Penguasaan Kemahiran Komputer

Item

Jumlah

Peratus

Isi kandungan kursus

11

55.0

Pengetahuan kemahiran komputer

9

45.0

Penguasaan terhadap kemahiran  asas penyenggaraan perkakasan dan penggunaan perisian aplikasi

12

60.0

Yakin untuk melaksanakan pengetahuan dan kemahiran yang dipelajari di sekolah

11

55.0

Masih belum menguasai kemahiran komputer

15

75.0


Analisis tahap kemahiran teknologi maklumat responden menunjukkan sebilangan peserta Kursus Dalam Perkhidmatan Komputer Dalam Pendidikan ini  sudahpun mempunyai pengetahuan asas dalam perkakasan komputer, penggunaan Windows '98 untuk format dan label disket, menghasil dan menyunting teks serta menggunakan jadual dalam MS WORDS. Bilangan yang mencapai tahap cekap atau cemerlang dalam kemahiran-kemahiran tersebut adalah kecil. Bagi kemahiran-kemahiran teknologi maklumat lain, kebanyakan peserta masih di peringkat sederhana dalam penggunaannya.

Namun begitu, masih ada sebilangan kecil peserta yang tidak tahu atau lemah dalam beberapa kemahiran teknologi maklumat seperti mengintegrasi MS EXCEL dan MS WORDS, mencetak e-mail, menghasil laman web, menghasil dan menilai perisian kursus, dan menggunakan perisian pencegahan virus. Jelas kumpulan peserta ini belum mendapat pendedahan atau pendedahannya tidak mencukupi.


g)  Masalah di kalangan peserta
                                                        Jadual 12: Masalah di kalangan peserta

Item

Jumlah

Peratus

Masalah kesuntukan masa menghalang untuk menguasai kemahiran dengan cepat

16

80.0

Makmal  Komputer mencukupi

19

95.0

Kekurangan perisian dan perkakasan terkini

12

60.0

Kemudahan  penggunaan peralatan lain tidak disediakan

12

60.0

Bilik sumber dan bahan rujukan tidak  mencukupi

11

55.0

Jangkamasa kursus  terlalu singkat

19

95.0

Lanjutkan masa kursus ke satu  semester

14

70.0

 

12.0    Cadangan

Dapatan menunjukkan bahawa peserta kursus KDP 14 minggu Komputer Dalam Pendidikan menunjukkan sikap yang positif terhadap perlaksanaan kursus ini. Walaubagaimanapun beberapa perkara perlu diberikan perhatian dan pembaikan segera untuk mempastikan kurikulum ini benar-benar mencapai objektif yang ditentukan.

Cadangan berikut perlu diberikan perhatian,antaranya ialah.
1.         Menerima peserta yang  mempunyai  kemahiran asas menggunakan  perisian
            aplikasi Ms Office yang baik untuk mengikuti kursus ini. Ini adalah untuk mengelakkan daripada
            menghadapi masalah kekangan dalam menyiapkan tugasan projek dan sebagainya.
2.         Bagi tahap pencapaian kemahiran teknologi maklumat, dicadangkan supaya perhatian yang lebih  
            diberi kepada pelaksanaan kurikulum kursus ini kerana ada peserta yang masih lemah dalam
            kemahiran teknologi maklumat tertentu seperti menghasil dan menilai pakej perisian kursus,
            menghasil  laman web, mencetak e-mail dan menggunakan perisian pencegahan virus.

3.         Tempoh kursus dilanjutkan daripada 14 minggu kepada satu semester untuk memberikan ruang
            masa yang mencukupi kepada peserta kursus menguasai pengetahuan dan kemahiran teknologi
            maklumat.
4.         Modul pengajaran dan pembelajaran digunakan sepenuhnya dalam proses pengajaran dan
            pembelajaran
5.         Menyediakan dan menambah jumlah perisian bantuan komputer dalam bahasa Malaysia untuk
            dijadikan rujukan dan panduan kepada peserta kursus.

 

13.0  Rujukan

Ab. Rahim Selamat .1989. Teknologi Sistem Pengajaran.Petaling Jaya. Fajar Bakti

Buku Panduan Pelaksanaan Kurikulum KDP 14 Minggu Latihan Guru Sekolah Bestari. Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan Malaysia.

Heinich, R. 1993. Instructional Media and New Technologies of Instruction. New York: MacMillan Publishing Co.

Hofmeister, A. 1984. Microcomputer Applications in The Classroom. New York: CBS College Publishing.

Jay, T.B. (1981). Computerphobia: What to do about it, Educational Technology, 21, 47-48.

Jusni Nasirun. 1995. The Attitudes of Lectures in Darul Aman Teacher Training Institude (IPDA) toward the Professional Use of Computers. Tesis sarjana, Universiti of Houston/IAB.

Kamariah Abu Bakar, habihah Elias. 1997. Perlaksanaan Pengajaran. Longman.Kuala Lumpur

Loyd, B.H. & Loyd, D.E. 1985. The Relibility and Validity of an Instrument for the Assessment of Computer Attitudes, Educational and Psychological Measurement, 45, 903-908.

 

Martin, C.D. & Heller, R.S. 1982. Computer Literacy for Teachers. Educational Leadership, 40(2), 46-47.

 

Marzita Puteh.1992. The Implementation of Computer in Education Courses in Maktab Perguruan Raja Melewar. Tesis M.Ed., University Malaya.

 

Nash, J.B. & Moroz, P.A. 1997. An Examination of The factor Structures of The Computer Attitude Scale, Educational Computing Research, 17(4), 341-356.

 

Nik Aziz Nik Pa. 1996. Konsep Maktab Perguruan Bestari, Jurnal Pendidikan Guru, Bil. 11/1996.


Nor Hariza Abdul Kadir. 1994
. Tahap penggunaan, kemahiran, sikap dan pengetahuan guru-guru pendidikan vokasional di sekolah menengah Vokasional seluruh Semenanjung Malaysia tentang komputer, kajian Ilmiah (Ijazah Pendidikan), Universiti Pertanian Malaysia.

 

Rahilah Zahari. 1998. Perbezaan Sikap terhadap Komputer di Kalangan Pelajar Tingkatan Empat. Laporan praktikum, Ijazah sarjana Pendidikan, Universiti Sains Malaysia.

Sukatan  Kurikulum Kursus Dalam Perkhidmatan (KDP) 14 Minggu Komputer Dalam Pendidikan . Bahagian Pendidikan Guru. Kementerian Pendidikan Malaysia.

Zoraini Wati Abas .1999. Smart Schools without computers .  New Straits  Times (Life & Times, hal. 8)