Make your own free website on Tripod.com

TUGASAN 4:  GE 6663 PPBK

 

 

TEORI DAN  STRATEGI PENGAJARAN PEMBELAJARAN DALAM MEREKABENTUK PERISIAN KURSUS PPBK.

 

 

1.0     Konsep Dan Teori  Pembelajaran

 

Pembelajaran ialah proses pemerolehan maklumat dan pengetahuan,penguasaan kemahiran dan tabiat serta pembentukan sikap dan kepercayaan . Proses pembelajaran berlaku sepanjang hayat seseorang manusia .  Proses pembelajaran berlaku di mana-mana tempat dan pada sebarang masa. Dalam konteks pendidikan, guru biasanya berusaha sedaya upaya mengajar  supaya pelajar dapat belajar dan menguasai isi pelajaran bagi mencapai sesuatu objektif yang ditentukan. Pembelajaran akan membawa kepada perubahan pada seseorang . Walaubagaimanapun perubahan yang disebabkan oleh kematangan seperti berjalan dan makan ataupun penyakit dan kelaparan tidaklah dianggap sebagai pembelajaran.

 

Hizral Tazzif Hisham & M.Azlan Jaafar.1997.Pembangunan Perisian Bakal Kuasai Alaf Depan.Komputer, Berita Harian .6 November .

 

Kamus Dewan mentakrifkan pembelajaran sebagai proses belajar  untuk memperoleh ilmu pengetahuan dan menjalani latihan.  Menurut pandangan  ahli kognitif, pembelajaran boleh ditakrifkan sebagai satu proses dalaman yang menghasilkan perubahan tingkahlaku yang agak kekal.  Manakala aliran behavioris pula  berpendapat bahawa pembelajaran ialah perubahan dalam tingkahlaku ,iaitu  cara seseorang bertindak dalam suatu situasi. Dalam psikologi humanis pembelajaran dianggap proses yang dapat membantu seseorang mencapai sempurna kendiri dan nilai individu.

Terdapat  beberapa teori yang dikemukakan mengenai pembelajaran , setiap teori  mempunyai  konsep atau prinsip tersendiri tentang proses belajar. Berdasarkan berbezaan sudut pandang ini maka teori pembelajaran  tersebut dapat dikategorikan kepada beberapa bahagian . Sejauhmana penggunaan teori dan pentingnya teori-teori yang dibincangkan itu akan menjelaskan konsep pengajaran dan pembelajaran dalam mereka bentuk  perisian PPBK.

 

 

a)      Teori Tingkahlaku

Dalam teori tingkahlaku , tumpuan pembelajaran adalah kepada tingkahlaku luaran yang dipengaruhi oleh peneguhan. Kebanyakkan pembelajaran yang dijalankan adalah tanggungjawab guru dan dikawal sepenuhnya oleh perekabentuk pengajaran atau sistem pengajaran seperti komputer yang digunakan. Dalam perisian kursus PPBK ini , aras penggunaan yang sesuai ialah hanya pada peringkat kefahaman dan pengetahuan. Teori ini akan berpegang kepada anggapan bahawa pembelajaran asas komputer menggunakan perisian PPBK  merupakan  tanggungjawab guru, dan dikawal sepenuhnya oleh pereka bentuk pengajaran atau sistem pengajaran iaitu guru.

Teori ini juga berlandaskan kepada anggapan bahawa pelajar akan mengekalkan sesuatu tindakan jika peneguhan yang bersesuaian diberikan kepadanya. Sebagai contoh, apabila seseorang pelajar diberikan ganjaran selepas menunjukkan sesuatu gerakbalas, ia akan mengulangi respons tersebut setiap kali rangsangan yang serupa ditemui.

 

b)      Teori Konstruktivisme

Menurut
 konstruktivisme, pelajar tidak lagi dianggap belajar daripada apa yang diberikan guru atau sistem pengajaran tetapi secara aktif membina realiti mereka sendiri dan pada masa yang sama mengubah suai realiti tersebut. Ini adalah sesuai dengan pengarajarn dan pembelajaran menggunakan perisian kursus . Perisian PPBK ini adalah memerlukan pelajar yang aktif dalam membina realiti mereka sendiri. Segala pengetahuan dibina oleh pelajar dalam matapelajaran asas komputer  tidak disokong dari pengetahuan luar. Dick (1997) menyatakan bahawa konstruktivisme hanya mencadangkan kaedah dalam mana persekitaran pemelajaran boleh disusunatur dan diurus supaya dapat membekalkan pelajar dengan konteks terbaik untuk belajar. Pembelajaran akan melibatkan pelajar yang aktif dengan mencari pengetahuan dan melibatkan kerja-kerja merekabentuk. Teori ini juga beranggapan bahawa pelajar mampu untuk membuat penyelidikan, menganalisis, mempersembahkan maklumat berkenaan perkakasan komputer.

c)      Teori Kognitivisme

Mengikut pandangan
kognitif,  pemindahan pembelajaran adalah petunjuk ke arah pembelajaran aktif dimana pelajar bertindak secara aktif memperoleh, menstruktur semula dan mengkaji pengetahuan untuk menjadikannya bermakna. Dalam pengajaran dan pembelajaran  bertajuk perkakasan komputer , pelajar adalah memerlukan kepada pemindahan pembelajaran. Maksudnya, pelajar memerlukan pengetahuan berkaitan menggunakan perisian tersebut. Teori ini lebih menekan kepada pengetahuan kini dan pengetahuan yang lepas. Untuk membantu pelajar memperolehi maklumat, perisian PPBK  hendaklah direkabantuk dalam bentuk simbol dan lain-lain saluran agar maklumat itu lebih teratur dan mudah diperolehi.

1.2     Strategi  Pendekatan Mereka Bentuk  Perisian PPBK

Pembinaan perisian kursus PPBK atas talian yang akan dibina oleh pengkaji  memenuhi sifat-sifat yang membolehkan perisian itu diklasifikasikan sebagai perisian pendidikan.  Perisian  PPBK hendaklah dapat mencabar pemikiran, merangsang pembelajaran dan menggalakkan penyertaan aktif. Ciri-ciri perisian tersebut dapat mewujudkan nilai-nilai pembudayaan tempatan.

 

a)      Penerapan  Nilai  Murni

Sesuai dengan Falsafah Pendidikan Negara untuk mewujudkan insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Sehubungan itu, penerapan nilai-nilai murni perlulah dilakukan walau dengan apa kaedah pengajaran yang dilaksanakan. Pembinaan perisian PPBK  akan menerapkan  nilai-nilai murni agar pelajar-pelajar dapat dibentuk ke arah yang positif. Nilai-nilai murni yang akan diterapkan adalah seperti:

a)  Berdikari
b)  Bekerjasama
c)  Tepati masa
d)  Sabar

 

Sebagai seorang pengajar, nilai yang baik harus ditunjukkan walaupun proses pengajaran dan pembelajaran berlaku tanpa menemukan pengajar dan pelajar. Pengajar mestilah menunjukkan sifat-sifat seperti berikut:

a)  Tepati masa
b)  Lemah Lembut
c)  Peka terhadap masalah pelajar
d)  Ada objektif pengajaran
e)  Kaedah Pengajaran dipelbagaikan
f)  Menyediakan ruang untuk perbincangan
g)  Memberi dorongan pada pelajar walaupun jawapannya salah.
h)  Bersedia membuat temujanji dengan pelajar.
i)  Sabar.

 

Rohani Abdul Hamid. 1998. Keperluan pendidikan abad ke-21: Projek Sekolah Bestari. Proseding Seminar Isu-isu Pendidikan Negara. Universiti Kebangsaan Malaysia. November.26-27.

 

b)      Strategi  Pembelajaran  Koperatif


Pembelajaran koperatif adalah satu pendekatan pembelajaran yang melibatkan kumpulan atau pasukan pelajar. Ia menggunakan.strategi rangkaian komputer untuk menyiapkan tugasan yang bebas daripada kekangan masa, jarak dan tempat. Konsep kerjasama dan dalam kumpulan telah diperkenalkan oleh Johnson dan Johnson (1991) dan Salvin (1983). Mereka percaya bahawa pelajar yang belajar secara bekerjasama dalam kumpulan akan dapat belajar dengan lebih baik dan berupaya meningkatkan prestasi mereka. Menurut Steven , mendapati bahawa pembelajaran koperatif telah meningkatkan motivasi pelajar semasa perbincangan dalam kumpulan. Hasil dari peningkatan motivasi yang ditunjukkan ia akan menyebabkan pelajar lebih berminat kepada perisian yang sedang dipelajari.

 

Pembelajaran koperatif juga merujuk kepada kaedah pengajaran yang memerlukan pelajar dari pelbagai kebolehan bekerjasama dalam kumpulan kecil untuk mencapai satu matlamat yang sama . Sasaran adalah tahap pembelajaran yang maksimum bukan sahaja untuk diri sendiri, tetapi juga untuk   rakan-rakan yang lain. Melalui perisian kursus yang dibangunkan ,pelajar akan melaksanakan lima unsur asas  iaitu,

        a. saling bergantung antara satu sama lain secara positif,

                    b. saling berinteraksi secara bersemuka,

                    c. akauntabiliti individu atas pembelajaran diri sendiri,

                    d. kemahiran koperatif, dan

                    e. pemprosesan kumpulan

 

Ganjaran akan diberi kepada individu dan kumpulan  dalam aktiviti yang dijalankan . Individu dalam kumpulan dikehendaki menunjukkan kefahaman masing-masing dan memainkan peranan berbeza bergilir-gilir. Pembelajaran koperatif menggalakkan pelajar berinteraksi secara aktif dan positif dalam kumpulan. Ini membolehkan perkongsian idea dan pemeriksaan idea sendiri dalam suasana yang tidak terancam,  sesuai dengan falsafah konstruktivisme.  

 

 

c) Strategi Pembelajarn Kolaboratif

Pendekatan ini menekankan proses penyiasatan dan inkuiri. Dalam pembangunan perisian PPBK pelajar akan melibatkan diri dalam aktiviti menjawab soalan terbuka supaya kemahiran inkuiri boleh dibina.  Kolaboratif mempunyai dua objektif iaitu menambahkan kefahaman pelajar dan pada masa yang sama membina kemahiran menyiasat.

Semasa aktiviti pengajaran dan pembelajaran Kolaboratif berjalan, interaksi berlaku di antara pelajar dengan bahan pengajaran, pelajar dengan pelajar dan pelajar dengan tenaga pengajar. Schrage (1990) menyatakan pembelajaran kolaboratif melebihi aktiviti bekerjasama kerana ia melibatkan perkongsian hasil penemuan dan hasil yang didapati daripada pembelajaran baru. Menurut Jonassen (1996), pembelajaran secara kolaboratif dapat membantu pelajar membina pengetahuan yang lebih bermakna jika dibandingkan dengan pembelajaran secara individu. Dengan menjalankan aktiviti dan projek pembelajaran secara kolaboratif secara tidak langsung  kemahiran-kemahiran seperti bagaimana berkomunikasi akan dipelajari oleh pelajar.

 

Mohammed Sani Ibrahim. 1998. Perancangan Dan Strategi Pelaksanaan Latihan Guru-Guru Sekolah Bestari. Proseding Seminar Isu-isu Pendidikan Negara. Universiti Kebangsaan Malaysia.November . 26-27.

 

d)  Pembelajaran Anjal

 Pengajaran dan pembelajaran perisian tidak semestinya dijalankan pada jadual waktu rasmi. Pembelajaran anjal melibatkan masa pelajar belajar dan kurikulum harus dirancang dengan sebaiknya disamping mewujudkan jadual waktu anjal. Dalam kaedah pengajaran pendidik guru harus diambil kira perbezaan pelajar itu sendiri.  Maka pembelajaran anjal harus dilaksanakan diluar waktu pembelajaran kelas biasa.

 

e) Pembelajaran Bersepadu

Sistem Pembelajaran Bersepadu ialah pendekatan pembelajaran yang menggunakan rangkaian komputer, bahan yang berasaskan komputer dan media sokongan, bagi memenuhi keperluan pembelajaran individu mengikut sukatan pelajaran yang ditetapkan. Dalam pembelajaran ini, sistem instruksi, pembelajaran dan pengurusan, dikendalikan oleh komputer menggunakan rangkaian komputer

(Yusup & Razmah, 1999)

 

f) Pembelajaran Penemuan Berpandu

Pembelajaran Penemuan Berpandu merupakan pendekatan inovatif yang menggunakan teknologi baru untuk meningkatkan proses instruksi dan pembelajaran tetapi masih mengekalkan peranan tradisi guru sebagai penentu arah pembelajaran pelajar. (Yusup & Razmah, 1999). Guru menggunakan pendekatan sistem dalam merancang dan melaksanakan stategi instruksi tetapi penggunaan multimedia menjadi tumpuan utama dalam mengawal proses pembelajaran.

 

 

2.0     Penutup

 

Kefahaman yang mendalam tentang faktor-faktor psikologi sangat perlu bagi pembina perisian kursus.Guru-guru adalah bakal

menjadi pakar isi kandungan dan pedagogi dalam pasukan pembina perisian pada zaman sekolah Bestari.Presiden dan Ketua

Eksekutif MIMOS Berhad, Datuk Dr.Tengku Mohd. Azzman Shariffadeen percaya bahawa dekad depan lebih tertumpu

kepada perkembangan industri maklumat dan bergantung kepada kandungan yang muatkan dalam perisian.(Komputer,Berita

Harian,OGOS,6,1997).Oleh itu guru adalah sumber penting dalam bidang pendidikan untuk menyambut kedatangan alaf baru

dengan pengetahuan secukupnya dalam pembinaan perisian khususnya bahan kursus PPBK Pengetahuan tentang perlunya

memberi pertimbangan sewajarnya kepada faktor-faktor psikologi dalam pembinaan perisian harus dijadikan perkara pokok.

 

 

 

 

Bibliografi.

 

 

AhMeng,Ee.1994.Psikologi Dalam Bilikdarjah. KualaLumpur:Fajar Bakti.

 

Alessi S.M. & Trollip R. S1991. Computer Based Instruction. Methods And Development. (2nd.Ed.).New Jersey:Prentice

Hall.

 

Floyd, S. 1991. The IBM Multimedia Handbook. New York: Brady Publishing.

 

Hizral Tazzif Hisham & M.Azlan Jaafar.1997.Pembangunan Perisian Bakal Kuasai Alaf Depan.Komputer, Berita

Harian : 1.

 

Kementerian Pendidikan Malaysia.1997. The Malaysian Smart School:A Msc Flagship Applications:A Conceptual Blueprint. KL.

 

Malone,T.W.1981.Towards A Theory Of Instrinsically Motivating Instruction.New Jersey:

 

Mohammed Sani Ibrahim. 1998. Perancangan Dan Strategi Pelaksanaan Latihan Guru-Guru Sekolah Bestari. Proseding Seminar Isu-isu Pendidikan Negara. Universiti Kebangsaan Malaysia.November .26-27  

 

Rohani Abdul Hamid. 1998. Keperluan pendidikan abad ke-21: Projek Sekolah Bestari. Proseding Seminar Isu-isu Pendidikan Negara. Universiti Kebangsaan Malaysia.November  26-27.

Zoraini  Wati  Abas .1992.  Komputer  Dalam  Pendidikan.  Kuala  Lumpur .Penerbit  Fajar  Bakti  Sdn. Bhd.