GE 6663: PPBK
 Tugasan 1
  Pembinaan Perisian Pengajaran Bantuan Komputer bertajuk  Perkakasan Sistem Komputer

 

1.0         Pendahuluan

Teknologi maklumat telah mengubah cara manusia bekerja.  Hjetland (1995) menyatakan bahawa “Technology can make our lives easier. Everyday tasks are simplified”. Beliau juga menyatakan bagaimana teknologi dapat mempermudahkan tugas  serta meningkatkan prestasi guru seperti penggunaan  teknologi untuk kerja-kerja pengurusan dan kerja-kerja pengajaran pembelajaran.  Maka seharusnya pengetahuan tentang teknologi maklumat khususnya dalam proses pengajaran dan pembelajaran adalah penting bagi guru-guru dalam membentuk generasi yang akan datang.

        Perkembangan pendidikan masa kini sedang menuju ke arah penggunaan komputer  sebagai alat pengurusan  pengajaran dan pembelajaran. Oleh itu guru perlu didedahkan dengan ilmu dan kemahiran  menggunakan komputer dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran.  Dengan menggunakan komputer dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran  kualiti dan hasil dalam pengurusan dan pentadbiran sekolah  dan bilik-bilik darjah dapat ditingkatkan.

Di samping itu  pengetahuan dan kemahiran seseorang guru mengenai perkakasan komputer dan proses baikpulih komputer juga merupakan sesuatu yang sangat penting dan perlu diutamakan . Penulis berpendapat  kebanyakan guru dan pelajar hanyalah menjadi pengguna kepada beberapa perisian  aplikasi dan  menguasainya dengan sebaik mungkin bagi membolehkan mereka menguruskan kerja yang berkaitan dengan pengurusan sekolah dan pengajaran di bilik-bilik darjah  yang ditentukan dengan cepat dan berkesan.. Secara umumnya  guru dan pelajar lebih tertumpu kepada  menggunakan perisian aplikasi seperti pemproses perkataan,hamparan elektronik,perisian persenbahan,grafik, pangkalan data dan internet.  Walaubagaimanapun pengetahuan dan kemahiran mengenai komponen  perkakasan  komputer amatlah terhad. Apatah lagi dalam bidang baikpulih komputer. Oleh sebab itulah kita sering mendengar keluhan pihak guru dan pengurusan sekolah tentang bagaimana untuk mendapatkan  peruntukan kewangan bagi membaikpulih komputer,menggantikan perkakasan yang telah rosak  dan adakalanya gagal mendapatkan khidmat baikpulih komputer daripada penjual selepas jualan walaupun masih dalam tempoh perjanjian.  Keadaan  ini sebenarnya akan memberikan kesan yang cukup mendalam terhadap penggunaan komputer dalam pendidikan khususnya apabila komputer yang sering digunakan dimakmal komputer memberikan ragam apabila tiba masanya untuk memulakan sesuatu pengajaran .  Oleh sebab itulah amat perlu pengetahuan dan kemahiran asas mengenai  komponen perkakasan dan baikpulih komputer ini diperkenalkan kepada pelajar dan guru yang terlibat dalam dunia pengkomputeran.

2.    0  Latarbelakang Sistem Sekarang

Perkembangan pendidikan masa kini sedang menuju ke arah penggunaan teknologi maklumat sebagai alat pengurusan dan pengajaran pembelajaran. Oleh sebab itulah bakal-nakal guru khususnya guru pelatih dan kaum guru telah didedahkan dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran teknologi maklumat melalui perlaksanaan pelbagai jenis kursus yang melibatkan asas teknologi maklumat di maktab-maktab perguruan di Malaysia.  Dengan adanya kursus seumpama itu ianya bukan sahaja dapat melahirkan para guru yang berketrampilan dalam penggunaan komputer dan teknologi maklumat dalam pendidikan sekaligus ianya juga dapat mempertingkatkan prestasi dan produktiviti pendidik dalam urusan pentadbiran sekolah dan di bilik-bilik darjah.


2.1     Matlamat dan Objektif

Matlamat dan objektif   pengajaran  tajuk perkakasan komputer di maktab perguruan  ialah supaya pelajar: (Bahagian Pendidikan Guru.1999).

i.                                mengetahui dan memahami  makna komputer

ii.                              mengetahui sistem kerja komputer terdiri daripada input,output dan storan

iii.                             mengetahui dan memahami fungsi CPU sebagai komponen utama

iv.                             mengetahui dan memahami fungsi peranti input dan output serta pelbagai jenis peranti lain

v.                               mengetahui makna perkakasan komputer serta fungsi komponen-komponen komputer.

vi.                             mengetahui dan memahami storan primer dan sekunder dalam sistem komputer

vii.                            mengetahui dan memahami masalah biasa komputer dan membaikpulih komputer

viii.                          mengetahui perkembangan perkakasan terknini di pasaran


2.2     Kandungan  Tajuk Perkakasan Komputer

Kandungan  tajuk perkakasan komputer yang dilaksanakan kepada pelajar maktab perguruan meliputi komponen-komponen berikut.

a)      Konsep Asas Sistem
          
i.        sejarah perkembangan komputer       

ii.       alat input  - papan kekunci dan tetikus
        iii.      unit pemprosesan pusat (cpu)
          iv.      storan primer dan sekunder
          v.       alat output – pencetak , monitor,audio
          vi.       konfigurasi komputer – papan induk, bus, mikropemproses

        vii.        komponen pada papan induk
       viii.        perkakasan sokongan


2.3     Bahan Bantu Mengajar

Penggunaan bahan bantu mengajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran  juga  telah banyak membantu pelajar mengikuti sesuatu tajuk yang disampaikan. Bahan bantu mengajar yang sesuai  dengan tahap dan isi kandungan tajuk yang diajar telah memudahkan pelajar cepat memahami isi pelajaran di samping menarik minat pelajar untuk terus mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran. Contohnya ialah  bahan bantu mengajar yang digunakan untuk menyampaikan kandungan pengajaran bagi tajuk  komputer menggunaan  beberapa perisian dalam bentuk CD ROM  dalam bahasa Inggeris yang bertajuk “How to Build Your Own PC, PC Maintenance,  Guide To Know PC. Perisian ini amat sesuai digunakan  untuk mengajar tajuk perkakasan komputer dan ianya memberikan kesan yang amat besar kepada pelajar dalam memahami tajuk perkakasan komputer.

Selain daripada itu slaid Powerpoint  juga digunakan dalam proses pengajaran  dan  dipaparkan pada skrin menggunakan projektor ( LCD Panel) untuk menyampaikan isi pelajaran kepada pelajar. Penggunaan slaid ini akan menambahkan minat dan memudahkan pelajar memahami tajuk yang disampaikan . Dalam usaha untuk membolehkan pelajar lebih memahami tentang komponen dan perkakasan komputer, beberapa contoh komponen utama sistem komputer digunakan dan dipamerkan kepada pelajar untuk mempastikan pelajar melihat secara langsung dan benar-benar mengetahui dan memahami fungsi setiap komponen perkakasan tersebut.  Nota kuliah disediakan bagi setiap tajuk yang disampaikan oleh guru. Biasanya nota kuliah ini diedarkan pada awal pengajaran


2.4     Penilaian    

 

Aspek penilaian  pelajar adalah penting untuk menentukan tahap penguasaan, kemahiran dan penghayatan. Maklumat

tentang tahap penguasaan pelajar menjadi petunjuk untuk membuat perancangan pengajaran dan pembelajaran seterusnya.

Alat-alat dan perkaedahan penilaian mestilah benar-benar dapat mengukur dengan tepat kebolehan dan keupayaan pelajar.  Penilaian terhadap pelajar bagi tajuk perkakasan komputer dilakukan melalui beberapa cara,antaranya ialah.

 

a) Penilaian Berterusan

 

Penilaian berterusan dijalankan untuk mempastikan pelajar benar-benar sudah menguasai pengetahuan dan kemahiran yang

dikehendaki (mastery learning). Penilaian berterusan dapat mengenal pasti tahap penguasaan pelajar supaya kelemahan pelajar

diatasi dan tidak terhimpun sehingga akhir pembelajaran.  Penilaian  berterusan penguasaan kemahiran dan pengetahui mengenai perkakasan komputer dilakukan melalui beberapa aktiviti teori dan amali disepanjang  tempoh kursus. Di antaranya ialah melalui soalan-soalan kuiz, ujian objektif mengikut  topik yang dipelajari, hasil tugasan ringkas pelajar dan aktiviti-aktiviti latihan amali yang dijalankan secara berterusan di makmal-makmal komputer . Pusat Perkembangan Kurikulum 1998).

 

(c) Penilaian Berasaskan Elemen Subjek

 

Setiap subjek (mata pelajaran) mengandungi pelbagai elemen, selain daripada pengetahuan dan kemahiran. Elemen-elemen

sesuatu subjek diberi penekanan untuk menilai sama ada pelajar benar-benar mengetahui dan menguasai subjeknya.

Misalnya  dalam subjek perkakasan komputer  elemen-elemen seperti  jenis dan fungsi komponen komputer,  komponen yang terdapat pada papan induk, membuka dan memasang komponen komputer, pengurusan cakera keras,   mengetahui dan membuat jangkaan untuk membaiki kerosakan komputer. 

 

(d) Penilaian Proses Di Samping Penilaian Hasil

 

Proses yang diambil untuk menghasilkan sesuatu projek  juga  dinilai. Penilaian  dibuat  dengan  mengambilkira prosesnya. Sebagai contoh  seseorang pelajar dikehendaki membuat  tinjauan mengenai jenis perkakasan  sistem komputer terkini yang berada di pasaran serta mencari senarai perbandingan harga di tiga buah negeri . Pelajar diberi tempoh tertentu untuk membuat tinjauan dan dikehendaki menyediakan laporan untuk diserah dan dinilai. Pengajar bertindak sebagai penyelia dan proses penilaian  akan dibuat dari peringkat mula melaksanakan perancangan hinggalah tamat tempoh  pelajar membuat tinjauan projek praktikalnya. 

 

2.5       Perlaksanaan Pengajaran Dan Pembelajaran


Proses Pengajaran  dan pembelajaran tajuk perkakasan komputer adalah berasaskan kepada  pelaksanaan pendekatan baru dalam pengajaran dan pembelajaran  yang menuntut guru untuk mengubah peranan mereka; daripada "tuan" kepada "pembantu", daripada "pengarah" kepada "penyelia", daripada "diktator" kepada "fasilitator". Pelajar menentukan dan merancang pembelajaran sementara guru pula bertindak memastikan pelajar berjaya melaksanakan rancangan pembelajaran mereka dan mencapai kriteria yang telah ditetapkan.


Dalam proses pengajaran dan pembelajaran subjek perkakasan komputer ini, beberapa kaedah dan strategi pengajaran telah digunakan,antaranya ialah

a)      Perbincangan

Melalui perbincangan, beberapa soalan mengenai tajuk  perkakasan komputer diberikan kepada pelajar dan perbincangan dilakukan berdasarkan kepada urutan tajuk yang diberikan. Contoh tajuk yang dibincangkan ialah komponen-komponen utama sistem komputer yang terdiri daripada Unit Sistem,Peranti Input dan Peranti Output. Pengajar  hanyalah menjadi pemimpin dan pembimbing kepada perbincangan yang dilakukan itu. Masa yang secukupnya diberikan kepada satu-satu perbincangan. Melalui cara ini  pelajar bebas mengeluarkan pandangan,idea mengenai tajuk yang dibincangkan. Ini akan memudahkan mereka memahami topik yang dipelajari.

 

b)  Tunjuk cara

Tunjuk cara juga digunakan dalam melaksanakan pengajaran bagi tajuk Perkakasan Komputer khususnya pada bahagian menanggal dan memasang komponen komputer   Beberapa langkah ditentukan  bagi memberi pelajar peluang untuk memahami apa yang disampaikan. Pengajar akan menunjukkan langkah-langkah membuka komponen komputer dan memsang semula kepada pelajar. Selepas aktiviti ini ,beberapa soalan tugasan diberikan kepada pelajar  untuk menguji pengetahuan dan memahamkan mereka tentang  proses membuka dan memasang serta mengenalpasti jenis-jenis komponen yang terdapat pada sesebuah komputer · Pada sesi yang lain pelajar akan  melaksanakan aktiviti membuka komponen,mengenalpasti jenis dan fungsinya serta memasang semula komponen  secara berpasangan . Kebiasaannya komputer yang digunakan untuk aktiviti ini di bawa sendiri oleh pelajar. Pengajar juga akan  membuat tinjauan secara  secara rawak di kalangan pelajar untuk memastikan mereka memahami dan mengikuti langkah yang betul. Pelajar diberikan peluang untuk mempraktikkan apa yang telah dipelajari. Melalui pendekatan ini pelajar akan lebih mudah memahami apa yang perlu dilakukan dan dapat melaksanakan latihan secara bersendiri dengan lebih baik.

 

c)  Kuliah

Kaedah kuliah adalah salah satu bentuk pengajaran yang digunakan dalam menyampaikan  tajuk Perkakasan komputer . Melalui kuliah,  nota mengenai perkakasan komputer akan diedarkan kepada pelajar terlebih dahulu. Pengajar akan membuat huraian  dengan  lebih ,tersusun , jelas dan berkesan.  Kebiasaannya  pengajar  akan terlebih dahulu memilih bahan pembelajaran yang sesuai dengan tajuk dan memberikan penekanan  kepada perkara-perkara tertentu yang diperlukan oleh pelajar. Ini akan meningkatkan pembelajaran dan membawa perubahan pada sikap dan nilai pelajar.   Penyampaian kuliah biasanya dibantu dengan penggunaan slaid persembahan Powerpoitnt mengikut tajuk yang disampaikan


d) Sumbangsaran

Kaedah  ini sentiasa diamalkan di kalangan pelajar bagi membolehkan mereka mengeluarkan pendapat secara terbuka dan berbincang dalam menentukan sesuatu keputusan. Contohnya dalam mempelajari tajuk Perkakasan Komputer, pelajar digalakkan mengadakan perbincangan dalam bentuk kumpulan dan memberikan pendapat dan idea mengenai tajuk.Contohnya dalam  proses membuka dan memasang komponen serta mengenalpasti fungsi setiap komponen komputer tersebut, pelajar digalakkan mengadakan perbincangan dalam bentuk kumpulan dan memberikan pendapat dan idea mengenainya. Pelbagai idea berdasarkan pengetahuan dan pengalaman pelajar akan dikeluarkan dan dikongsi bersama.
 
 
3
. 0      Kekuatan Sistem Sekarang

a)       Kandungan  Tajuk

Tajuk  yang terdapat di dalam sukatan Teknologi Maklumat adalah penting dan bersesuaian dengan objektif matapelajaran teknologi maklumat diperkenalkan. Tajuk ataupun topik perkakasan  komputer sepertimana yang dinyatakan dalam sukatan lebih menumpukan kepada mempelajari tentang konsep asas perkakasan komputer dan fungsinya ,kemahiran memasang dan menanggal komponen komputer,  konfigurasi  sistem komputer , pengurusan cakera keras, proses memasukkan perisian sistem, dan membaikpulih  komputer .


b)      Pengurusan Makmal Komputer

Makmal  komputer yang disediakan adalah makmal pelbagai guna yang diurus dengan baik untuk memastikan semua perkakasan berada dalam keadaan yang baik dan seterusnya memanjangkan jangkahayatnya. Aspek-aspek yang diberikan perhatian dalam pengurusan makmal  komputer ialah

Makmal  komputer digunakan oleh semua pelajar bagi pelbagai tujuan pengajaran dan pembelajaran. Makmal ini juga digunakan bagi tujuan kursus dan latihan pelbagai pihak luar dan dalam. Aktiviti yang dijalankan dimakmal ini perlu dirancang dengan baik dan melibatkan semua pihak. Jawatankuasa Pengurusan Makmal Komputer  diwujudkan dengan tanggungjawab dan berfungsi untuk merancang, menilai dan memastikan kemudahan ini digunakan secara yang optimum mengikut keperluan  maktab.

Buku Log Penggunaan Komputer diadakan untuk membolehkan Penyelaras  makmal komputer  memantau penggunaan kemudahan makmal komputer. Di samping itu, buku ini juga dapat memberikan maklumat berhubung profil penggunaan setiap komputer dan tempoh masa ia digunakan. Bagi setiap makmal, 2 jenis buku log penggunaan perlu disediakan. Yang pertama ialah buku Log Penggunaan Makmal Komputer. Buku ini akan diisi oleh guru yang membawa pelajar-pelajarnya ke makmal.  Yang kedua dikenali sebagai Buku Log Penggunaan Komputer. Buku ini  akan di isi oleh setiap pelajar/guru yang menggunakan komputer.

Buku Log Penyenggaraan disediakan  untuk Penyelaras  makmal komputer  merekodkan sebarang kerosakan dan masalah serta tindakan baik pulih yang dilakukan kepada perkakasan teknologi yang terdapat di dalam makmal komputer.  Penjagaan makmal yang tersusun ini membolehkan proses pengajaran dilaksanakan dengan baik dan berkesan.

c)       Nota Kuliah
Nota dalam bentuk ‘handout’  disediakan terlebih dahulu dan ianya diberikan di awal kelas telah banyak membantu pelajar memahami  isi kandungan subjek yang akan diikuti. Maklumat dan panduan aktiviti yang dimuatkan dalam nota tersebut  memudahkan pelajar melaksanakan aktiviti yang ditentukan oleh guru.

d)      Perisian CD ROM  
Penggunaan  beberapa perisian dalam bentuk CD ROM  dalam bahasa Inggeris yang bertajuk “How to Build Your Own PC, PC Maintenance,  Guide To Know PC  ini amat sesuai  untuk mengajar tajuk perkakasan komputer dan ianya memberikan kesan yang amat besar kepada pelajar dalam memahami tajuk perkakasan komputer.

 

4.0     Kelemahan Dan Masalah  Sistem  Sekarang
 

Dalam proses melaksanakan  pengajaran pembelajara perkakasan komputer ini , terdapat beberapa kelemahan  antaranya,

a).     Kekurangan pengetahuan, kepakaran dan kemahiran di kalangan pensyarah/fasilitator yang terlibat mengendalikan kelas ini.  Untuk menyampaikan tajuk perkakasan komputer  seseorang pengajar memerlukan pengetahuan dan kemahiran yang  baik. Pengajar terlebih dahului perlu mempunyai pengetahuan yang cukup disamping mempunyai kemahiran membaikpulih komputer yang tinggi. Disamping itu bilangan  tenaga pengajar yang berkebolehan  dalam bidang ini tidak  mencukupi. Akibatnya pelajar terpaksa belajar dan merujuk dari sumber lain untuk lebih memahaminya.

b).     Kekurangan komputer untuk aktiviti amali membuka dan memasang komponen komputer.  Dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran tajuk ini pelajar tidak dibenarkan untuk membuka atau menggunakan  komputer yang terdapat dalam makmal komputer. Walaupun pelajar diminta membawa sendiri komputer peribadi dalam latihan amali membuka dan memasang komponen komputer namun jumlahnya masih tidak mencukupi .  Untuk mengatasinya , digunakan tunjuk cara atau demonstrasi proses memasang dan menaggalkan komponen komputer kepada pelajar.  Ini sudah tentu kurang berkesan kerana pelajar tidak mendapat pengalaman melakukan secara sendiri.

c).     Kekangan masa juga antara yang menjadi faktor utama yang menghalang penguasaan pelajar terhadap kemahiran membuka dan memasang komponen komputer ini. Jumlah masa  dalam satu sesi pengajaran  seminggu  hanyalah 2 jam. Ini sudah pasti tidak memberikan ruang yang cukup kepada pelajar untuk mencuba kerana aktiviti amali ini memerlukan masa yang  panjang. Kadangkala menimbulkan rasa jemu dan bosan dikalangan pelajar untu terus mengikuti sesuatu topik yang disampaikan  Adakalanya sesuatu bahagian tajuk itu  terpaksa diulang beberap kali bagi mempastikan setiap pelajar dapat menguasainya dengan sebaik mungkin.  Keadaan ini bukan sahaja menjemukan malah akan menyebabkan wujudnya pembaziran masa yang agak panjang.

d.)     Terdapat juga kekurangan dan kesukaran mendapatkan buku-buku dan bahan bahan rujukan  menganai perkakasan komputer dalam Bahasa Malaysia. Kebanyakannya disediakan dalam Bahasa Inggeris Keadaan ini sedikit sebanyak membataskan pembacaan dan penguasaan pengetahuan dan kemahiran Teknologi Maklumat di kalangan pelajar. 
 
 
e)      Tidak terdapat perisian kursus dalam bentuk CD ROM  yang bersesuaian dan menepati kehendak pendidikan mengenai perkakasan komputer di   dalam bahasa Malaysia. Penggunaan perisian  mengenai perkakasan komputer dalam bahasa Inggeris agak terbatas dan ianya  tidak menepati kehendak dan ruang lingkup pembelajaran mengenai perkakasan komputer. Tambahan pula masalah untuk memahami mesej yang disampaikan dalam bahasa Inggeris itu agak menyukarkan pelajar yang lemah  untuk memahaminya. 


5.0     Peluang

Penggunaan teknologi komputer dalam bidang pendidikan banyak membantu guru-guru dalam tugas pengajaran, pentadbiran dan pengurusan. Perkembangan ini  berpotensi untuk menggunakan komputer sebagai  alat untuk mengayakan persekitaran pengajaran dan pembelajaran bagi hampir semua mata pelajaran.

         Aspek teknologi komputer ini telah digabungkan dalam kurikulum sekolah sebagai satu daya usaha ke arah menyemai dan memupuk minat serta sikap positif terhadap perkembangan teknologi. Budaya persekolahan seharusnya di ubah menjadi sesuatu yang berdasarkan memori kepada yang berpengetahuan, berpemikiran, kreatif dan penyayang dengan menggunakan teknologi terkini
 

5.1     Persoalan Kajian

Kajian ini akan melihat  sejauhmanakah  keperluan  kepada  perisian kursus  untuk menjadi bahan  membantu guru dan pelajar dalam memahami matapelajaran Asas Komputer  khususnya  tajuk Perkakasan Komputer dalam proses pengajaran dan pembelajaran teknologi maklumat.
Di antara persoalan penting kajian ini ialah.

1.             Bagaimanakah pembinaan perisian kursus PPBK ini dapat membantu pelajar memahami  tajuk perkakasan komputer dalam proses pengajaran dan pembelajaran teknologi maklumat.

2.             Bagaimanakah  dengan  penggunaan perisian PPBK  dalam proses pengajaran dan pembelajaran perkakasan komputer lebih menjinamtakn masa dan dapat menarik minat pelajar untuk belajar berbanding dengan kaedah konvensional .

3.             Bagaimanakah dengan penggunaan perisian kursus PPBK mengenai perkakasn komputer ini dapat membantu meringankan tugas guru dalam membantu pelajar memahami  tajuk yang disampaikan

4.             Bagaimanakah  perisian ini dapat menyediakan suasana pembelajaran akses kendiri mengikut tahap dan penguasaan pelajar.
 

5.2     Tujuan  Kajian

Tujuan kajian ialah untuk membangunkan satu perisian pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer untuk pembelajaran  tajuk Perkakasan Komputer bagi matapelajaran Asas Komputer. Dalam kajian ini, penulis akan menumpukan perhatian terhadap pembinaan perisian pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer  mengenai  Perkakasan Komputer . Dengan pembinaan perisian yang menepati objektif diharapkan pengajaran dan pembelajaran akan lebih menarik dan menyeronokkan serta memberikan kesan yang baik terhadap proses pengajaran dan pembelajaran komputer.
 

5.3     Objektif  Kajian
 

a)       Menghasilkan satu  perisian kursus PPBK bertajuk Perkakasan Komputer

b)       Membina  satu perisian yang dapat  digunakan bagi mewujudkan satu  suasana pembelajaran yang menarik dikalangan pelajar.
c)       Membina perisian  PPBK  yang  boleh digunakan oleh pelajar untuk belajar secara akses kendiri mengikut tahap penguasaan     
           masing-masing.
.
e)       Membina perisian  kursus PPBK  dalam bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar  supaya pelajar lebih cepat memahami isi  
           kandungan nya .

f)        Membina perisian PPBK bertajuk Perkakasan Komputer  yang  menepati kehendak sukatan dan isi kandungan matapelajaran 
          teknologi maklumat.



5
.4     Ancaman ( Batas kajian)

Pembinaan perisian pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer hanya meliputi peringkat  asas mengenai Perkakasan Komputer  sahaja.  Walaubagaimanapun pembinan perisian pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer hanya berdasarkan kepada Pengenalan komponen dan fungsi asas setiap perkakasan pada sesebuah sistem komputer multimedia.Perisian ini juga dibina untuk kumpulan yang telah disasarkan iaitu pelajar-pelajar maktab perguruan yang mengambil matapelajaran asas komputer dan juga kepada pelajar sekolah menengah KBSM dan  juga kepada pengguna-pengguna lain.
 

6.0     Penutup

Sebagai satu teknologi yang masih baru di Malaysia, kos untuk membiayai teknologi ini agak tinggi dari segi perkakasan dan juga perisian PPBK itu sendiri. Bahan kursus yang berkurangan  serta  kurang bermutu di pasaran menyebabkan situasi ini menjadi lebih buruk. Kurang kemahiran komputer dan kekurangan kepakaran membangunkan perisian PPBK di kalangan guru menyebabkan bahan kursus tidak dapat dikeluarkan secara kormesial.

         Komputer juga masih lagi dianggap sebagai barang mewah yang hanya mampu dimiliki oleh orang-orang kaya. Pelajar-pelajar dari dari keluarga kurang mampu terpaksa berkongsi dengan rakan-rakan di sekolah untuk belajar komputer. Akibat dari terlalu asyik berinteraksi dengan komputer, pelajar-pelajar akan hilang sifat-sifat kemanusiaan yang tinggi seperti interaksi dengan guru dan rakan-rakan.
 
 
 

RUJUKAN
 

Kementerian Pendidikan Malaysia.1996. Laporan Tahunan Kementerian Pendidikan Malaysia: Bahagian Teknologi Pendidikan,Kuala Lumpur.

Kementerian Pendidikan Malaysia.1998.  Sukatan  Kurikulum Kursus Dalam Perkhidmatan (KDP) 14 Minggu Komputer Dalam Pendidikan . Bahagian Pendidikan Guru


Norhashima Abu Samah,Mazenah Yeop & Rose Alinda Alias .1996. Pengajaran Bantuan Komputer.Dewan Bahasa dan Pustaka& UTM.Kuala Lumpur: .


Pusat Perkembangan Kurikulum.1999.  Garis Panduan Perlaksanaan Program Pendidikan.Kementerian Pendidikan Malaysia.
 

Rahil Mahyuddin, Habibah Elias .1997. Perlaksanaan Pengajaran, Pedagogi 2. Siri Penerbitan Longman.Kuala Lumpur


Zoraini Wati Abas .1994. Pengenalan Kepada Komputer. Federal Publication.Kuala Lumpur.