Make your own free website on Tripod.com
Tugasan 1 : GE 6543 : Dasar Dan Polisi Negara Mengenai Teknologi Maklumat
 

1. Pendahuluan

Alvin Toffler, seorang pakar dalam bidang futuristik telah menyatakan dalam bukunya bernama Power Shift bahawa zaman pertanian serta zaman perindustrian yang telah berlanjutan selama beberapa kurun lalu akan tamat dan digantikan dengan zaman maklumat menjelang alaf baru.

          Menyedari hakikat ini, banyak negara kini mengalihkan perhatian mereka ke bidang teknologi maklumat dengan  mengambil peluang untuk menjadikan industri teknologi maklumat sebagai enjin pertumbuhan eknonomi negara. Sebagai contoh, Singapura telah menetapkan matlamat IT 2000 dengan menjadikan Singapura sebagai sebuah Pulau Bistari atau "Intelligent Island" menjelang tahun 2000.
 

2. Polisi atau Dasar Polisi  Dan Dasar Teknologi Maklumat dan Multimedia Negara
 

Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan mentakrifkan polisi atau dasar sebagai
 

i. Apa yang kerajaan lakukan dan kenapa
ii. Sebagai agen tindakan bagi menghasilkan dan merealisasikan sesuatu visi
iii. Sebagai kaedah dan mekanisme untuk meregulasikan aktiviti melalui peraturan ,subsidi ,insentif dan aturan
iv. Sebagai usaha mengenalpasti pembinaan respon positif kepada masalah  dalaman  atau luaran organisasi


        Projek Koridor Raya Multimedia (Multimedia Super Coridor atau ringkasannya MSC) telah diumumkan oleh Datuk Seri Dr. Mahathir semasa merasmikan Persidangan Multimedia Asia pada 1hb Ogos 1996. Pengumuman ini secara tidak langsung menunjukkan Malaysia sedang menuju ke arah dunia multimedia dan pada masa yang sama menyediakan diri dalam menghadapi zaman maklumat ini.

        Teknologi maklumat bermaksud penggunaan teknologi untuk mendapatkan maklumat. Teknologi maklumat dan komunikasi pula ialah lanjutan dari teknologi maklumat di mana ia menggabungkan penggunaan internet dalam pencapaian atau pengendalian maklumat.

        Teknologi Maklumat  mendapat tempat utama dalam pembangunan sosio ekonomi negara dan merupakan teknologi strategic menyokong pertumbuhan eokonomi Malaysia.  Dalam Wawasan 2020 , salah satu matlamat ialah pembentukan sebuah negara Malaysia yang benar-benar maju menjelang tahun 2020. Kemajuan ini termasuklah mempunyai rakyat  yang mempunyai pengetahuan Teknologi maklumat yang tinggi.

            Dalam Rancangan Malaysia ketujuh, usaha yang  lebih bersepadu telah diambil berteraskan pengetahuan.memandangkan peranan Teknologi maklumat yang starategik untuk mencapai matlamat ini  , beberapa langkah diambil oleh kerajaan untuk memperluaskan rangkaian dan perkhidmatan infrastruktur maklumat yang terdapat diseluruh negara.

Sebanyak lapan polisi telah diwujudkan dalam Rancangan Malaysia Ketujuh.

    1. memastikan penyebaran dan penggunaan Teknologi maklumat yang meluas dalam  dan antara sector              untuk merangsang produktiviti dan daya saing serta memperbaiki kualiti hidup.

2. membentuk satu pelan tindakan nasional untuk mempastikan  pendekatan pengurusan pembangunan IT yang lebih sistematik di negara ini.

3. Memperluaskan pendidikan daan latihan Teknologi maklumat selaras dengan jangkaan pertambahan permintaan untuk kepakaran,pengetahuan dan kemahiran berkaitan Teknologi Maklumat.

4. Mengkali semula undang-undang dan peraturan yang menghalang kemajuan Teknologi Maklumat

5. Menggalakkan  pembangunan industri Teknologi Maklumat tempatan dari segit rekabentuk dan pengeluaran produk,system dan perkhidmatan yang inovatif untuk mewujudkan peluang pertumbuhan baru dan juga kepakaran dan epekerjaan dalam bidang berteknologi tinggi.

6. Memajukan Malaysia sebagai satu hub Teknologi  Maklumat serantau dengan syarikat Teknologi maklumat antarabangsa beroperasi dari Malaysia.

7. Meningkatkan kesedaran Teknologi Maklumat di kalangan  penduduk

8. Penubuhan Majls Teknologi Maklumat Kebangsaan.
 

3. Koridor Raya Multimedia (MSC)

Koridor Raya Multimedia merangkumi kawasan seluas 750 km persegi yang melebar ke selatan Kuala Lumpur, bermula dari Pusat Bandaraya Kuala Lumpur (PBKL) di utara hinggalah ke Lapangan Tebang Antarabangsa Kuala  Lumpur (LTAB) di selatan. Ia disempadani oleh Lebuh Raya Utara-Selatan di sebelah timur dan Lebuh Raya Persisiran Pantai di sebelah barat (Ramlah, Abd. Wahab, Dewan Masyarakat-1996: 46).

        Di antara PBKL dan LTAB, terdiri dua identiti mega di tengah-tengahnya, iaitu pusat pentadbiran baru kerajaan, Putrajaya dan Bandar Raya Teknologi Maklumat ( IT City). Antara kewujudan bangunan mega itu, terbangun pula industri multimedia dan syarikat utama yang menerajui perkembangan infrastruktur dan teknologi maklumat. Selain itu, keseluruhan MSC juga akan dilengkapi dengan rangkaian optik gentian digital, 2.5 hingga  10 gigabit yang akan menghubungkannya secara langsung dan interaktif dengan negara Asean, Jepun, Amerika  Syarikat, Eropah dan negara membangun yang lain
 

4.  Aplikasi Khusus  Koridor Raya Multimedia

Di bawah projek MSC ini, beberapa aplikasi khusus akan dimajukan dan dijangka siap pada tahun 2000.  Kelapan-lapan aplikasi adalah seperti berikut:
 

a. Kerajaan elektronik

Pentadbiran kerjaan yang berhubung secara rangkaian komputer dengan  mengutamakan konsep kurang kertas (paperless). Semua jabatan kerajaan akan dihubungkan dengan pangkalan data sepunya untuk memudahkan aliran maklumat. Dengan itu kecairan maklumat (information  solvency) akan meningkat.
 

b. Teleperubatan

Hospital akan menggunakan teknologi maklumat yang canggih untuk berhubung antara  hospital di rantau ini serta di seluruh dunia. Dengan itu, kepakaran doktor di seluruh dunia dapat dikongsi oleh doktor tempatan.

c. Kelompok pembangunan dan penyelidikan

Penubuhan kelompok institusi kajian serta institusi pendidikan  di MSC untuk meningkatkan kemahiran sumber manusia tempatan serta menjalankan kajian teknologi maklumat yang canggih.

d. Pusat Pembuatan Sedunia

Dengan menyediakan kemudahan pembuatan kepada syarikat antarabangsa dengan menawarkan sumber manusia yang berdaya saing dalam peringkat antarabangsa dan murah dari segi bayarannya.

e. Pusat Pemasaran Tanpa Batasan

Berdasarkan hakikat bahawa keunikan budaya rakyatnya, Malaysia dapat membekalkan perkhidmatan telemarketing kepada populasi 2.5 billion orang penduduk di rantau Asia.

f.  Pusat Kewangan bercirikan Multimedia

Lokasi MSC yang strategik dengan hubungan multimedia ke semua pusat kewangan sedunia dapat menarik minat syarikat yang ingin menyokong MSC secara melabur di syarikat-syarikat dalam MSC.

g. Kad Bistari

Kad bistari yang serbaguna akan dikeluarkan dan akan berfungsi sebagai kad pengenalan, dompet elektronik, kad kredit, kad telefon dan seumpamanya.
 

5. Akta  Dan Undang  Teknologi Maklumat

           Kewujudan satu objektif polisi yang nyata dengan mengambil kira percantuman yang rumit memerlukan satu arah nyata  untuk industri menyediakan satu asas kejayaan ekonomi,social dan tujuan industri. Perubahan yang pesat di dalam industri menuju percantuman dan mengambil kira kepentingan pengguna.

        Kerajaan Malaysia telah meluluskan beberapa undang-undang saiber semenjak tahun 1997 untuk menyediakan rangka kerja komprehensif bagi membantu  masyarakat dan perdagangan yang merangkumi aspek-aspek berkaitan dengan keselamatan,kejituan dan ekebolehpercayaan maklumat dan rangkaian.

        Semua Undang-Undang dan Akta dibentuk untuk mewujudkan persekitaran  yang tepat untuk pembangunan industri komunikasi dan multimedia serta menjadikan Malaysia sebagai tumpuan utama untuk perkhidmatan maklumat komunikasi dan multimedia.

Sebanyak enam undang-undang berkaitan telah diluluskan,antaranya.

http://ktkm.gov.my/bm/com/policy.html

Enam undang-undang siber yang telah diluluskan di Malaysia adalah:

1.  Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 perundangan terpenting yang telah dikuatkuasakan pada 1 April 1999.

        Perundangan ini menyediakan dasar dan rangka kerja kawalselia untuk  percantuman industri-industri telekomunikasi, penyiaran dan komputer. Akta ini   berasaskan prinsip-prinsip ketelusan, jelas, kompetetif dan kurang kawalselia;  lebih ke arah pemeraturan sendiri; peninggalan kawalseliaan, penekanan lebih   kepada proses berbanding kandungan, ketelusan pentadbiran dan sektor dan  industri pemeraturan sendiri.

Polisi objektif umum bagi industri komunikasi dan multimedia adalahseperti  berikut:
 

i. Menjadikan Malaysia sebagai pusat dan tumpuan utama dunia bagi perkhidmatan komunikasi dan perkhidmatan maklumat dan kandungan multimedia;

ii. Mengalakkan perwujudan masyarakat bertamadun yang  berasaskan maklumat;

iii. Mencambahkan dan memupuk sumber maklumat dan  perlambangan budaya tempatan;

iv. Mengawal selia bagi faedah jangka panjang pengguna akhir;

v. Menggalakkan tahap keyakinan pengguna di dalam  perkhidmatan yang disediakan;

vi. Memastikan penyediaan perkhidmatan sama rata yang mampu dibayar melalui infrastruktur kebangsaan;

 vii. Mewujudkan suasana aplikasi yang giat bagi  pengguna akhir;

viii. Memudahkan pengagihan sumber yang berkesan seperti tenaga buruh mahir, modal, pengetahuan dan aset negara;

 ix. Menggalakkan pembinaan keupayaan dan kecekapan dalam industri;

x. Menjamin keselamatan maklumat dan kebolehpercayaan dan keutuhan rangkaian.
 

2. Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998

    Memberi kebenaran untuk penubuhan sebuah Suruhanjaya Komunikasi dan  Multimedia Malaysia, ia itu badan tunggal kawalselia untuk kemunculan  percantuman industri komunikasi dan multimedia.

3. Akta Tandatangan Digital 1997

Kawalseliaan pengiktirafan undang-undang dan pengesahan kepada dokumen  elektronik yang asal..
 

4. Akta Jenayah Komputer 1997

Mengenakan penalti jenayah kepada aktiviti penipuan atau ketidak jujuran  walupun jika kesalahan dilakukan diluar negara.

5.  Akta Hakcipta (Pindaan) 1997
   Memberikan perlindungan hakcipta talian terus

6. Akta Teleperubatan 1997
Kawalseliaan aplikasi Teleperubatan di dalam Malaysia

        Disamping itu, Kerajaan juga sedang merumuskan satu lagi perundangan  dinamakan Akta Perlindungan Data Peribadi (PDP)
 

6.0  Penutup

 Sekiranya Projek MSC ini berjaya, maka dipercayai MSC akan muncul sebagai sebuah kawasan pembangunan perdana yang termoden dan termaju serta serba lengkap dengan pusat pentadbiran, pendidikan, pembangunan, taman kediaman yang ceria, kawasan rekreasi dan hiburan yang kesemuanya akan menjadi kebanggaan Malaysia.

        Tarikh 16-1-1997 merupakan hari bersejarah dalam arena teknologi maklumat Malaysia apabila Panel Penasihat  Antarabangsa bertemu di Stanford University, California, USA untuk membincangkan isu-isu berkaitan  pembangunan MSC.

        Antara ahli dalam Panel Penasihat Antarabangsa ini ialah Bill Gates (CEO Microsoft), James Barksdale (CEO Netscape), Stan Shih (CEO Acer), Louis Gerstner (CEO IBM). Kebanyakan ahli-ahli panel merupakan ketua eksekutif bagi syarikat gergasi teknologi maklumat serta orang perseorangan yang banyak menyumbang idea dalam pembangunan era maklumat seperti Alvin Toffler serta Kehichi Ohmae.

        Persidangan tersebut merupakan julung-julung kali dalam sejarah industri teknologi maklumat yang dapat mengumpulkan begitu ramai "Kapten Industri". Semua ini atas tarikan yang ditawarkan oleh MSC dan kerajaan Malaysia.

        Antara syarikat yang telah mula menjadi syarikat MSC ialah Syarikat Sun Malaysia yang mendapat kelulusan dari MDC pada 4-11-96. Syarikat Ernst & Young turut mengumumkan bahawa syarikat tersebut akan mendirikan
pusat latihan di MSC. Menurut MDC, terdapat 12 syarikat yang akan dijangka diluluskan menyertai MSC menjelang akhir tahun 1996 (Chan Lee Meng , The Star, 5-11-96).

        Sambutan terhadap penubuhan MSC nampaknya menggalakkan. Walau bagaimanapun, ini hanyalah satu permulaan awal. Menanti di depan ialah pelbagai rintangan yang bakal ditempuhi. Sekiranya MSC berjaya dilaksanakan , ia akan membawa Malaysia ke era maklumat dan seterusnya merelisasikan impian wawasan 2020.
 
 
 

RUJUKAN

Koridor Raya Multimedia.1999 Edisi Pertama

Zackeriya.1999.Koridor Raya Multimedia.majalah PC.Jilid 10.Vol.1

Rujukan Internet

Kementerian Tenaga,Komunikasi dan Multimedia.2000
Sumber Internet :http://ktkm.gov.my

Kementerian Tenaga,Komunikasi dan Multimedia.2000
Sumber Internet :http://ktkm.gov.my/bm/comm./policy .html